Friday, April 23, 2010

Isu moral: Taktik Muhyiddin jatuhkan kumpulan Najib
Hashim Abdullah

TEMERLOH, 20 April: Tindakan pemimpin Umno membangkitkan isu moral dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor dilihat taktik dan perancangan jauh kumpulan pro Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjatuhkan kumpulan Datuk Seri Najib Razak dengan lebih cepat, kata Ketua Cabang PKR Temerloh, Ahmad Nizam Abdul Hamid.


Berucap pada ceramah penerangan isu-isu terkini pilihan raya kecil Hulu Selangor anjuran PAS kawasan di Kampung Paya Kecik, semalam, beliau menjelaskan isu moral calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim sengaja dimainkan Umno bagi mewujudkan suasana serangan balas terhadap isu moral kumpulan Najib yang sekali gus akan menjatuhkan maruah Presiden Umno itu.


“Kita tahu ada perebutan kuasa antara Najib dan Muhyiddin dan kita tahu ada usaha untuk menjatuhkan Najib lebih awal. Pendedahan isu akhlak sengaja dimainkan semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor yang diketuai Muhyiddin Yassin,” katanya.


Katanya, mereka sengaja mahu isu akhlak dibangkitkan kerana sedar pihak Pakatan Rakyat akan menyerang balas akhlak pemimpin Umno terutama Najib dan kumpulannya.


Apabila menyebut soal akhlak, nak tak nak, kita akan menyebut soal Najib. Nak tak nak, orang akan menyebut pemimpin Umno yang kena tangkap basah di Port Dickson, nak tak nak, orang menyebut soal Altantuya dan nak tak nak, orang akan menyebut soal ada menteri yang minum arak bersama isterinya,” ujarnya lagi.


Menurutnya, apabila Pakatan Rakyat mendedahkan perkara itu, kumpulan Najib akan menerima kesan buruk bagi perebutan jawatan di dalam Umno.


“Sebab itu, isu akhlak ini merupakan perancangan jauh Muhyiddin menggunakan pilihan raya kecil Hulu Selangor menjatuhkan maruah Najib dan konco-konconya,” katanya.


PETIKAN DETIKDAILYNET

Serangan peribadi terhadap Zaid:Rancangan untuk kenakan PM

Posted on Saturday, April 24 @ 03:26:47 PDT by Paktam

Oleh Ahmad Nizam Hamid

Saya kira tidak pernah di dalam mana-mana Pilihan Raya - baik PRU mahupun PRK-serangan terhadap peribadi calon dilakukan secara terang-terangan. Jika selama ini, walaupun ulah sebegini sering terjadi yakni serangan memburuk-burukkan calon lawan berlaku yang bersifat peribadi, namun skalanya tidaklah secara terang-terangan tetapi lebih bersifat "bisik-bisik" atau berupa surat layang.

Manakala PRK Parlimen Hulu Selangor (PRKP HS) yang sedang berjalan rancak hari ini memperlihatkan wajah atau citra UMNO/BN yang begitu memualkan; nampaknya serangan yang bersifat peribadi atas isu akhlak dan moral dihalalkan oleh pemimpin UMNO tanpa had.



Panglima-panglima UMNO seperti Khir Toyo, Ali Rustam, Muhyidin Yassin dan yang lainnya seolah-olah dirasuk, mendendangkan isu akhlak atau moral Zaid Ibrahim dengan pelbagai tuduhan - kaki botol, womaniser, kaki judi dan pelbagai lagi - secara terang-terangan, tanpa segan-silu.



Media perdana, baik yang bercetak mahupun televisyen kesemuanya memaparkan isu akhlak Zaid Ibrahim secara besar-besaran tanpa taranya. Kesemuanya digunakan untuk membentuk pemikiran rakyat/pengundi bahawa calon KEADILAN itu mempunyai akhlak yang jelek dan menjijikkan. Sasaran utama mereka ialah para pengundi Melayu Muslim yang merupakan pengundi majoriti di situ.


Pun begitu, propaganda hitam seperti ini bukanlah perkara baru. Jika disusuri sejarah akan dapat kita fahami bagaimana propaganda yang bersifat serangan peribadi ini dilakukan; Dato Bahaman, Mat Kilau, Imam Perang Rasu, Dato Maharajalela, Si Putum, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbung (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi pejuang dilabelkan sebagai PENDERHAKA kepada Sultan.


Malah penjajah (dan saki baki penjajah bentuk baru yang menjadi warganegara kita ini) akan memberikan alasan yang seakan-akan sama untuk membentuk pemikiran dan mempengaruhi orang ramai bahawa faktor para Pahlawan bangsa ini bangkit berjuang adalah di atas alasan yang bersifat peribadi yang begitu menjelekkan, bukannya untuk rkayat dan negara.


Kerana itulah kita diberitahu alasan perjuangan Pahlawan bangsa ini kerana mahu memelihara hamba atau kerana tidak lagi boleh mengutip cukai dan 1001 tuduhan. Tidak pernah mereka para Pahlawan bangsa ini dikatakan berjuang untuk kemerdekaan dan menghalau penjajah. Maka atas kalimat PENDERHAKA kepada Sultan, propaganda penjajah berhasil mencipta persetujuan rakyat ketika itu untuk tidak berpihak kepada Dato Bahaman dan yang lainnya.


Sewaktu Perang Dingin khususnya di era Darurat (dari sudut perundangan Malaysia tidak pernah sehingga ke hari ini diistiharkan bebas dari Darurat) propaganda tentang kejahatan Komunis diuar-uarkan. Cukup dengan tuduhan tanpa asas bahawa seseorang itu merupakan agen komunis atau penyokong komunis atau simpatisan atau berjuang di atas ideologi komunis atau dituduh komunis memungkinkan kebebasan dan hak asasi individu tersebut tercabut dan dihalalkan untuk dikurung tanpa bicara di Kamunting atau tempat tahanan yang lain baik di Malaysia mahupun Singapura.


Lihat sahaja pengalaman Syed Husin Ali yang dicatatkan di dalam bukunya, Two Faces / Dua Wajah atau kisah Pak Said Zahari) pengalaman beliau di Singapura. Kedua-duanya ditahan di bawah ISA yang zalim itu antaranya atas tuduhan komunis. Rakyat yang saban waktu dicuci otak dengan propaganda buruk tentang komunisisme (tanpa tahu atau faham apa itu komunisme) menerima segala yang dinyatakan oleh kerajaan seadanya. Ertinya di kurun waktu tersebut akibat propaganda sedemikian rupa maka fikrah rakyat sudah diolah bahawa sesungguhnya ada justifikasi di atas penahanan inidividu di atas kalimat komunis.


Pengalaman yang sama dialami oleh Anwar Ibrahim sewaktu beliau dilanyak tanpa ampun oleh media dan alat kerajaan seawal bulan September 1998 (dan berterusan hingga ke hari ini); propaganda sengit yang menyerang peribadi Anwar Ibrahim dibuat sebegitu rupa guna untuk mengolah persetujuan rakyat yang sekali gus untuk menghalalkan fitnah terhadap beliau. Malangnya, kali ini propaganda jelek UMNO/BN tersasar, rakyat tidak mempercayai segala tuduhan dan fitnah keji itu. Propaganda jelek ke atas Anwar Ibrahim akhirnya memakan diri UMNO/BN sendiri apabila rakyat bangun dan membuat pilihan.



Kali ini sasaran mereka ialah Zaid Ibrahim UMNO tahu Zaid Ibrahim punya tampang dan kaliber dan ini meresahkan mereka. Kerana takut berdepan sebagai anak jantan, berdebat soal prinsip dengan bijaksana maka UMNO mengambil pendekatan yang benar-benar tidak beretika dan beradab dengan menyerang peribadi serta mempersoalkan akhlak Zaid Ibrahim.


Tentunya yang menjadi lelucon ialah pemimpin UMNO yang membantai Zaid Ibrahim itu bukan pula yang berakhlak mulia! Malah tidak keterlaluan jika dikatakan mereka juga punya isu moral yang dipersoalkan. Pun begitu mereka ini - Khir Toyo, Ali Rustam dan yang lainnya - mempamerkan muka tebal mereka seolah-olah mereka punya akhlak excellence dan maksum. S


Pada masa yang sama, saya cenderung menilai permainan propaganda jelek ini dari sudut perebutan kuasa dalaman UMNO. Najib dan Muhyidin Yasin dilihat bukanlah gandingan yang punya chemistry; malah di dalam banyak perkara Muhyidin dilihat menjarakkan dirinya daripada Najib. Sudah menjadi rahsia umum Muhyiddin khabarnya sedang menyusun kekuatan beliau untuk mengambil alih tampuk kekuasaan daripada Najib.


Saya beranggapan Muhyiddin Yassin tidak naif apabila memberikan lampu hijau kepada jentera UMNO/BN membangkitkan isu akhlak Zaid Ibrahim. Tentunya beliau mendapat nasihat serta pandangan menyeluruh dari pakar perang saraf UMNO/BN sebelum beliau memilih opsyen untuk menyerang peribadi Zaid Ibrahim. Dan tentunya Muhyidin menyedari bahawa sebarang serangan peribadi khususnya isu akhlak akan ada serangan balas atau repercussion daripada Pakatan Rakyat.


Dan inilah yang terjadi-apa yang diharapkan oleh Muhyidin menjadi-serangan balas daripada jentera PR tentunya membabitkan persoalan moral beberapa pemimpin UMNO khususnya batang tubuh Perdana Menteri/Presiden UMNO, Najib Razak. Najib Razak yang sudah sekian lama sememangnya dilihat sebagai pemimpin utama UMNO yang punya banyak baggage dan jerangkung di dalam almari.


Sekadar menyebut beberapa contoh, daripada isu Altantuya yang tidak kunjung padam malah kembali dihangatkan gara-gara perang saraf Muhyidin hinggalah kepada skandal pembelian pesawat pejuang, kapal selam dan yang lainnya. Malah turut dikaitkan dengan isteri beliau Rosmah Mansor. Pengakuan PI Bala khabarnya diterjermahkan ke bahasa Melayu untuk diedarkan. Lihat juga siri serangan balas melalui foto-foto dan tulisan-tulisan yang mengaitkan Najib dengan pelbagai persoalan akhlaknya.


Sepupu Najib, Hishammuddin turut menjadi "mangsa" propaganda hitam akibat dari ulah Muhyiddin ini. Betapa foto-foto lama (menurut Hishammuddin sendiri sudah lebih lapan tahun berlegar di dunia maya) yang tentunya menimbulkan persoalan tentang moral beliau dimuat turunkan daripada internet. Begitulah sedikit sebanyak gambaran yang boleh diberikan.


Saya menyebut Muhyidin tentunya tidak naif apabila memberikan lampu hijau kempen memburuk-burukkan Zaid Ibrahim dihalalkan. Dan Muhyiddin punya kekuatan untuk menghalang serangan peribadi dari dilakukan tetapi beliau tidak mengambil pilihan itu. Beliau tidak naif kerana pastinya mengetahui atau sekurang-kurangnya dapat meramalkan tentunya akan ada serangan balas yang akan disasarkan terus ke arah batang tubuh PM dan lain-lain pemimpin UMNO/BN.

Propaganda yang baik ialah yang tidak ada tindakbalas yang merugikan!

Pada hemat saya, walau apa pun keputusan PRK Hulu Selangor, yang benar-benar kalah ialah Najib Razak dan pemimpin UMNO lainnya yang rendah moralnya.


Buat pertama kali,saya kira, "free for all" berhubungkait dengan isu akhlak PM dan pemimpin BN lainnya diperkatakan secara terbuka dan tentunya aliran informasi "tindakbalas" propaganda UMNO itu menyebabkan makcik-makcik FELDA yang selama ini tidak mengetahui apa-apa mengenai "kebejatan" moral pemimpin UMNO mula mempersoalkan integriti dan akhlak PM dan pemimpin UMNO/BN lainnya.

Tahniah kepada Muhyidin Yassin di atas inisiatif ini.

*Artikel ini ditulis oleh Ahmad Nizam Hamid, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Temerloh Pahang dan Penasihat Undang-undang KEADILAN Pahang. Artikel ini telah disiarkan di blog Lanai Lestari.

**Nota Editor: Pada 18 April, TPM Muhyiddin Yassin menafikan bahawa UMNO yang melancarkan serangan peribadi terhadap calon PKR, Zaid Ibrahim; sebaliknya mendakwa bahawa isu ini dibangkitkan oleh media.


No comments:

Post a Comment